Gua air Baling Kedah akan dimajukan

ALOR SETAR- – Potensi Gua Air sebagai pusat tarikan pelancongan terbaru yang berada dalam Kampung Tok Patah DUN Kupang antara intipati dibincangkan dalam Mesyuarat Exco semalam.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Dato’ Najmi Ahmad berkata, Gua Air yang merentasi seluas 300 meter itu mempunyai potensi besar kepada kemajuan pelancongan di Baling.

“Minggu lepas kerajaan negeri sudah umumkan sumbangan RM200,000 kepada Gua Sireh di Kampung Padang Che Mas, DUN Bayu.

“Insha ALLAH Gua Air yang terletak di kawasan Gunung Pulai juga dalam perhatian kerajaan negeri. Kita tidak lupakan kawasan dalam DUN Kupang,”katanya yang dipetik daripada Facebook rasminya.

Najmi yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kupang berkata, beliau bersama Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad bercadang melakukan kunjungan di Gua Air dalam masa terdekat.

“Saya sudah melihat gambar-gambar Gua Air, ternyata ia khazanah yang amat menarik dan perlu dipelihara.

“Gua ini mempunyai aliran air di sepanjang gua. Kerajaan negeri akan melihat potensi yang boleh dibangunkan,” katanya.

Terdahulu Mesyuarat Exco berlangsung di Wisma Darul Aman.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.