Prestasi hambar Malaysia, Cheng Hoe lepas jawatan

Tan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR– Prestasi hambar skuad kebangsaan dalam Piala AFF Suzuki 2020 membawa kepada peletakan jawatan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan itu diambil Cheng Hoe selepas berbincang dengan pengurusan FAM.

“Cheng Hoe telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM dan menyatakan hasratnya itu berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini,”katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Jelas Saifuddin, pengurusan FAM setelah berbincang secara terbuka dari semua sudut akhirnya menghormati keputusan tersebut dan bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.

“Antara kejayaan yang diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih.
Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karierj kejurulatihannya selepas ini,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.