Tiga NGO gembleng usaha bantu penduduk terjejas

BALING– Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggembleng tenaga menyampaikan bantuan kepada penduduk terputus bekalan makanan ketika masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

NGO berkenaan ialah Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling, Kedah (Perkeba), Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia Negeri Kedah dan Cawangan Baling serta Persatuan Sahabat Anak Baling.

Penyerahan sumbangan tersebut melibatkan sembilan buah kampung iaitu Kampung Seberang Pekan, Kampung Rambong, Kampung Siput, Kampung Lalang, Kampung Charok Gorok Asam Jawa, dan Kampung Charok bemban.

Tiga lagi kampung ialah Kampung Charok Sikin, Kampung Guar Reban dan Kampung Belakang market lama Kupang.

Setiausaha Kehormat Perkeba, Mohd Nazry Md Bidin berkata, bantuan berkenaan disumbangkan pihak Raffelinna Sdn Bhd dan Cikgu Makiah (Penolong Kanan Hem SK Seri Jemerli, Kuala Ketil).

“Perkeba mewakili Penaung pertubuhan ini, Tuan Haji Mohd Noor Mohd Amin mengucapkan terima kasih kepada pihak penyumbang yang membantu penduduk Baling yang terputus bekalan makanan semasa dalam PKP membasmi COVID-19 ini.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh ketua isi rumah,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan terlibat dalam program berkenaan.

Terdahulu, bantuan diagihkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) daerah Baling dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daerah Baling.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.