Empat anggota kumpulan pembebasan Patani gugur di Jarae Kadong

Salah seorang anggota yang syahid, Irfan Idris

PATANI– Empat anggota kumpulan pejuang pembebasan Patani gugur dalam pertempuran dengan pasukan tentera Thailand di Kampung Jarae Kadong Daerah Kerong Pinang Wilayah Yala.

Kesemua anggota terbabit maut dalam kejadian ( 27 Januari 2025/ 27 Rejab 1446 H) dan disahkan sebagai anggota dari Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Mereka yang syahid adalah Kamarudin Samae,42, Abu Bakar Yasi (44), Harun Waekueji (47) dan Irfan Idris (24).

Pertempuran meletus apabila pasukan tentera khas Thailand melancarkan operasi penggeledahan dan pengepungan di Kampung Jarae Kadong setelah mengesan gerakan kumpulan pejuang.

Semasa kepungan di rumah pertama, tiga anggota pejuang berjaya meloloskan diri sebelum berlaku pertempuran antara kedua-dua pihak di luar.

Ketiga-tiga anggota bertempur tanpa mahu menyerah diri sehingga maut di lokasi.

Dua daripada empat mangsa syahid

Dalam kepungan lain di rumah berasingan, seorang lagi anggota kumpulan pejuang maut dalam pertempuran dengan pasukan tentera.

Tentera merampas senjata dan bahan bukti dikatakan milik pejuang seperti raifal M16A2 dan AK-102, raifal Remington, bom paip, komunikasi radio, bendera gerakan, dan pelbagai lagi.

Keempat-empat jenazah mangsa disambut ratusan penduduk dan dikebumikan di daerah Krong Pinang.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.