KUALA LUMPUR – Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 telah disempurnakan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail bertempat di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, semalam.
Bertemakan “Dengarlah Suara Kami”, tema ini menekankan kepentingan mendengar dan memberi perhatian kepada suara kanak-kanak, serta tanggungjawab bersama untuk memastikan hak, kesejahteraan, dan masa depan mereka terpelihara dalam menghadapi dunia yang semakin kompleks.
Majlis pada hari ini menyaksikan, beberapa penyampaian anugerah iaitu Anugerah Pingat Hang Tuah dan Anugerah Gemilang yang merangkumi Kebudayaan dan Kesenian, Sukan, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Akademik di bawah Institusi JKM. Istimewa bagi Sambutan Hari Kanak-Kanak
Terdapat dua (2) penambahan kategori penyampaian Anugerah Khas iaitu Anugerah Khas KanakKanak dan Anugerah Khas (NGO) Kanak-Kanak.
Pada tahun ini, Anugerah Pingat Hang Tuah dianugerahkan kepada Adik Muhammad Asri Rosli yang berumur 14 tahun, berasal dari Rawang, Selangor yang telah menyelamatkan rakannya daripada kehilangan nyawa dalam tragedi renjatan elektrik pada 2 Oktober 2024 yang lalu.
Penyampaian sijil penghargaan juga turut diberikan kepada syarikat swasta atau korporat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kanak-Kanak yang telah memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi keperluan kanak-kanak.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melancarkan Dasar Kanak-Kanak Negara bertujuan untuk melahirkan kanak-kanak yang dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya di samping membentuk insan seimbang dan berperibadi unggul yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri,berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni ke arah kesejahteraan Malaysia.
Matlamat ini akan dilaksana menerusi empat objektif iaitu menambah baik kelangsungan hidup, memperkukuh aspek perlindungan kanak-kanak, memastikan perkembangan kanak-kanak dan meningkatkan penyertaan kanak-kanak dalam pelbagai aspek.
RENTAS7
Leave a Reply