Dua sebab Andisak gagal tewaskan Farizal Marlias

KUALA LUMPUR– Juara Piala AFF Suzuki 2018 akan dimuktamadkan di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam ini.

Antara Malaysia dan Vietnam, kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk merangkul juara, namun tuan rumah memiliki kelebihan bermain di depan penyokong mereka.

Sepanjang aksi Harimau Malaya bermula peringkat kumpulan, persembahan menentang Thailand di Bangkok dianggap terbaik setakat ini.

Malaysia berjaya mara hasil kelebihan gol di tempat lawan.

Kegagalan penyerang Thailand, Andisak Kraisorn menyempurnakan sepakan panalti menyelamatkan nasib skuad kebangsaan.

Namun, dua aspek dikenal pasti punca kepada kegagalan Andisak menyumbat gol panalti pada pertemuan itu.

Andisak yakin sepakan panaltinya telah dikaji pasukan kebangsaan.

Andisak pemain paling menyerlah kejohanan namun gagal membawa pasukannya ke final

Penyerang liga 1 Thai, Muangthong United itu sedar Mohd Farizal Marlias mampu membaca gerakan kanan atau kiri bola.

Kemahiran pada Farizal antaranya dapat dilihat ketika perhitungan penalti pada perlawanan play-off kelayakan Liga Juara-Juara (ACL) 2017 di antara JDT dan Bangkok Glass.

Farizal yang berjaya  menepis sepakan panalti pemain nombor 7 dan 6 Bangkok Glass membawa JDT ke pusingan seterusnya.

Kedua-dua pemain itu cuba menjaringkan melalui sudut kiri gawang, sudut sukar buat mana-mana penjaga gol.

Namun, berdepan Farizal mereka gagal.

Berdepan penjaga gol sama, Andisak tahu tendangan ke arah sama mampu ditepis dan itu faktor pertama pemain itu tidak berbuat demikian.

Pemain berjersi 9 itu juga enggan mengambil risiko dengan sepakan ke arah kanan gawang seperti mana dilakukan ketika menyumbat gol ke enam menentang Timor Leste pada aksi pertama.

Cubaan ke arah itu pastinya turut berada dalam jangkaan penjaga gol lawan.

Jika diteliti pada rakaman perlawanan separuh akhir kedua, jelas Andisak cuba menewaskan Farizal melalui sepakan ke arah tengah gol.

Faktor kedua inilah penyumbang kekalahan Thailand.

Bola itu melambung tinggi hingga menjadi usikan di media sosial.

Bukan semua pemain dapat melakukan percubaan tepat ke tengah pintu gol walaupun mereka berstatus profesional.

Menggalas tugas berat di depan puluhan ribu penyokong, anda mungkin perlu berfikir dua kali untuk melakukan percubaan seperti itu.

Tetapi, apa akan berlaku sekiranya Andisak mengambil keputusan melakukan rembatan ke arah kiri ? ketika Farizal sebenarnya telah pun tertewas apabila melayangkan badan ke arah kanan.

 

 

 

Sumber: Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.