1000 sukarelawan sedia bantu Imigresen buru pelancong tinggal lebih masa

 

KUALA LUMPUR– Seramai 1000 sukarelawan sedia membantu pihak berkuasa mengesan pelancong China dan India yang tinggal lebih masa di negara ini.

Tawaran itu dibuat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Naib Presiden PUTRA, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, akhbar pada 6 Disember lalu melaporkan pihak Imigresen akan mengesan lebih 76 ribu pelancong China dan lebih 39 ribu pelancong India.

Menurutnya, kumpulan pelancong asing berkenaan tidak mempunyai rekod keluar selepas masuk ke negara ini.

Katanya, pendedahan jumlah menakutkan itu ialah hasil Laporan Ketua Audit Negara 2018 siri 2.

“Disebabkan kekurangan kakitangan dan pegawai Imigresen untuk menjalankan kerja memburu pelancong China dan India ini, PUTRA mengambil inisiatif menawarkan 1000 orang sukarelawan untuk membantu kerja Operasi memburu mereka ini sehingga ke lubang cacing.

“Keselamatan negara adalah keutamaan PUTRA dan adalah tanggungjawab PUTRA untuk membantu pihak berkuasa menjalankan tugas,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, PUTRA mendesak kerajaan menghapuskan “Visa On Arrival” kepada pelancong China dan India yang terbukti disalah gunakan.

Menurutnya, kemudahan itu telah di salah gunakan pelancong asing untuk masuk dan bersembunyi dalam Malaysia.

“Desakan ini selaras dengan Perisytiharan Tuntutan 10 Perkara Perjuangan PUTRA untuk mengkaji dasar pemberian kewarganegaraan dan kawalan pendatang asing,”katanya.

Mereka berminat boleh menghubungi Mohd Khairul Azam Abdul Aziz di talian 0129770412.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.