Dion Cools sah perkuat Harimau Malaya

Mohd Hamidin memperkenalkan Dion Cool sebagai pemain ke-26 skuad kebangsaan

KUALA LUMPUR-Pemain berdarah campuran Malaysia- Belgium Dion Cools sah menjadi pemain ke-26 skuad kebangsaan bagi mengharungi baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Haji ­Hamidin Mohd Amin di Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Sebelum ini sebuah video pendek Hamidin yang membuat gimik sedang menunggu pemain ke-26 Harimau Malaya membuatkan peminat bola sepak tempatan tidak senang duduk.

Walaupun ramai mengharapkan Dion Cools sebagai pemain dimaksudkan Hamidin, namun semua pihak termasuk media tidak dapat untuk mengesahkan perkara itu ekoran tiada maklumat yang jelas.

Dion Cools yang bermain di posisi bek kanan dan beraksi untuk kelab Denmark, FC Midtjylland mempunyai pengalaman beraksi pada saingan Liga-Liga Eropah telah melaporkan diri di kem Harimau Malaya yang kini berada di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Hamidin berkata, Dion Cools disahkan memperkuatkan skuad Harimau Malaya setelah semua proses dokumentasinya selesai.

“Alhamdulillah, pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools telah bersama pasukan di Dubai, UAE, hari ini dan secara rasmi sah diumum sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya.

“Ini berikutan selepas segala proses dokumentasi di peringkat FIFA dan AFC, terutamanya berhubung status kelayakannya, pendaftaran dan lain-lain telah selesai,”katanya.

Beliau berkata, dengan kehadiran beliau, ia akan dapat memberi nilai tambah serta memperkasakan lagi pasukan Harimau Malaya.

“Harapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong setia Harimau Malaya, doakan pasukan kita ini untuk beroleh kejayaan. Amin,”katanya.

Malaysia akan mengakhiri baki kempen dengan menentang tuan rumah UAE pada 3 Jun ini sebelum menentang Vietnam pada 11 Jun dan terakhir bertemu Thailand pada 15 Jun.

Kesemua perlawanan diadakan di UAE ekoran pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.