KUALA LUMPUR -Skuad Bawah 17 Tahun (B-17) negara memperoleh persiapan terbaik menjelang Kelayakan Piala Asia B-17 2027 apabila dijemput menghadapi Indonesia dalam kejohanan Garuda Championship Series 2026 di Surakarta, Indonesia.
Perlawanan ini turut menjadi pentas menarik buat tuan rumah yang pastinya mahu membalas kekalahan 1-0 kepada Malaysia pada Kejuaraan B-17 ASEAN di Indonesia, April lalu.
Dalam kejohanan tersebut, Malaysia muncul naib juara, manakala Indonesia tersingkir seawal peringkat kumpulan.
Semalam, skuad kendalian Shukor Adan menurut laman rasmi Facebook FAM telah berlepas dari Terminal 2, KLIA menuju ke Surakarta bagi mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Indonesia B-17.
Kedua-dua pasukan dijadual berentap di Stadium Manahan, Solo pada Sabtu, 4 Julai dan Selasa, 7 Julai 2026, masing-masing pukul 9.00 malam waktu Malaysia.
Dua perlawanan ini dijangka menjadi ujian penting buat anak buah Shukor Adan dalam memantapkan keserasian pasukan sebelum mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia B-17 2027 yang dijadual berlangsung pada November depan.
RENTAS7/ FOTO : FAM








Leave a Reply