“DAP cuba langgar perlembagaan negara”

SUNGAI PETANI– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengalu-alukan DAP keluar daripada PH seperti mana hasrat Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Meng.

Kor Meng pada 29 Januari lalu memberi kata dua kepada kerajaan supaya mengiktiraf UEC atau DAP akan tinggalkan PH.

Pengerusi Penyelaras PUTRA Kedah, Datuk Mustafa Idrus berkata, kerajaan tidak perlu tunduk dengan ugutan DAP, sebaliknya perlu tegas menolak dan tidak mengiktiraf UEC.

“Umum mengetahui UEC ini diambil peperiksaannya di sekolah persendirian Cina malah tidak mengutamakan bahasa Melayu sebagai keutamaan dalam sijil mereka.

“Sijil UEC tidak perlu diiktiraf kerajaan kerana bahasa Melayu merupakan teras utama dalam sistem pendidikan negara ini,”katanya.

Mustafa

Beliau berkata, pihak yang mahu UEC diiktiraf perlu sedar bahawa Perlembagaan Malaysia hanya memperuntukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menurutnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Katanya lagi, Akta Pendidikan telah menetapkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua sistem pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi.

“Nampaknya sejak DAP berkuasa mereka semakin menampakkan agenda Malaysian Malaysia. Mereka cuba melanggar perlembagaan negara.

“Kenyataan Kor Meng untuk keluar daripada kerajaan hanya satu ugutan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,”katanya.

Beliau berkata, Mahathir dan pimpinan Melayu dalam PH sebelum ini menolak keras dakwaan DAP paling berkuasa dalam kalangan parti-parti lain dalam gabungan berkenaan.

“Jika kerajaan tunduk kepada tuntutan DAP, rakyat boleh melihat parti sebenar menguasai PH.

“Tetapi keberanian DAP mengugut Mahathir dengan kata dua, itu pun sudah menunjukkan siapa sebenarnya menguasai PH,”katanya.

Mustafa berkata, ugutan dilemparkan DAP juga seoalah-olah menggambarkan parti itu mempertikaikan kepimpinan Dr Mahathir.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.