Selepas bukti di Sabah, Warisan mahu terbang ke Semenanjung

Mustafa bersama Dr Razif selaku Penyelaras parti Warisan Semenanjung Malaysia

KUALA LUMPUR– Timbalan Pengerusi Warisan Kedah, Dato’ Dr. Mustafa Idrus, yakin Parti Warisan berpotensi menjadi antara parti dominan di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum akan datang susulan perubahan ketara landskap politik semasa.

Menurut beliau, kekalahan besar yang dialami DAP di beberapa kawasan membuka ruang kepada rakyat untuk melihat alternatif politik baharu, seterusnya meletakkan Warisan sebagai pilihan yang semakin mendapat tempat.

“Rakyat kini mencari parti yang bersih daripada rasuah dan penyelewengan. Dalam situasi ini, Warisan menawarkan pendekatan politik yang lebih matang, progresif dan bebas skandal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, gelombang penolakan terhadap DAP yang semakin ketara di Semenanjung memberikan kelebihan kepada Warisan untuk memperluas pengaruh serta membina keyakinan pengundi di semua peringkat.

“Warisan sedang bersiap sedia melancarkan gerak kerja besar-besaran di Semenanjung. Ini termasuk pengukuhan jentera akar umbi, program penerangan dan memperluas kehadiran parti di kawasan tumpuan,” katanya.

Jelasnya, Warisan komited untuk membawa gaya kepimpinan berwawasan yang menekankan integriti, penyatuan rakyat dan pembangunan negara secara menyeluruh.

“Pengundi sekarang lebih matang. Mereka mahukan pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat, bukan hanya retorik atau agenda kumpulan tertentu,” tegasnya.

Tambah beliau, Warisan hadir dengan gagasan politik yang inklusif tanpa mengira kaum, agama atau geografi, sesuatu yang dilihat selari dengan aspirasi Malaysia moden.

Beliau turut menegaskan bahawa parti itu menawarkan platform politik yang stabil dan berdaya saing, sebagai pilihan kepada rakyat yang semakin kecewa dengan krisis keyakinan terhadap beberapa parti besar.

“Kami percaya Warisan mampu membawa perubahan yang lebih segar dan berprinsip. Inilah masa rakyat memberi peluang kepada kepimpinan yang benar-benar bersih dan berwawasan,” katanya.

Dato’ Dr. Mustafa  menyeru rakyat untuk menilai dengan terbuka tawaran politik Warisan menuju masa depan negara yang lebih amanah dan bebas rasuah.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.