DAP bantah Jawi, PAS ingatkan jangan lupa…

Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR-PAS mengingatkan ADUN Tras, Chow Yu Hui bahawa tulisan Jawi telah lama digunakan rakyat Malaysia.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, sikap pemimpin DAP itu mencabar keputusan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di mahkamah amat dikesali.

“Kenyataan ADUN Tras itu tidak berasas kerana penggunaan tulisan Jawi telah lama digunakan oleh rakyat Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu.

“Bahkan tiada kita melihat isu tidak boleh membaca Jawi dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tulisan Jawi bukan suatu perkara asing di dunia termasuk Malaysia kerana ia adalah tulisan yang telah digunapakai sejak tahun 1300 Masihi.

Katanya, sejarah turut mencatatkan, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia juga tertulis dalam abjad Jawi.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga telah mengisytiharkan Jumaat sebagai hari menyemarakkan tulisan Jawi.

“Bagi menyambut seruan tersebut, Harakah turut mengadakan semula kolum tulisan Jawi mulai Ogos 2020 ini.

“Bahkan, DAP juga perlu sedar bahawa selama ini logo Halal bagi barangan Malaysia turut menggunakan tulisan Jawi,” katanya.

Kamaruzaman berkata, PAS menyokong usaha kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasakan penggunaan tulisan jawi.

“Ia seharusnya diikuti kerajaan negeri lain sebagai tanda sokongan memartabatkan penggunaan tulisan Jawi,” katanya

Pada 29 Julai, Yu Hui memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk wajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis negeri itu.

Kata Hui, kerajaan Pahang dan kerajaan tempatan tidak harus membuat paksaan kepada semua pihak terutamanya peniaga bagi melaksanakan perkara itu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.