Microsoft labur di Malaysia, jana 19,000 peluang pekerjaan

Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR-Lebih 19,000 peluang pekerjaan bakal tersedia kepada rakyat Malaysia selepas pihak Microsoft Corporation (Microsoft) melabur RM4 billion di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui pelaburan itu, pusat data serantau Microsoft pertama di Malaysia akan dibuka.

Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan satu komitmen pihak Microsoft untuk membangunkan landskap ekonomi digital selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital.

“Saya berbesar hati mengumumkan pelaburan RM4 bilion oleh pihak Microsoft dengan pembukaan pusat data serantau pertamanya di Malaysia yang akan menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan.

“Pelaburan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Microsoft Bersama Malaysia yang saya lancarkan tengah hari tadi di Putrajaya,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Microsoft merupakan sebuah syarikat gergasi teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1993.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif Microsoft Bersama Malaysia, pihak Microsoft juga akan melatih dan meningkatkan kemahiran 1 juta rakyat Malaysia menjelang akhir 2023.

“Ini sekali gus akan dapat merapatkan jurang digital dan memperkasakan rakyat Malaysia menerusi penggunaan teknologi,”katanya.

Dalam majlis berkenaan, Muhyiddin
menyaksikan pelantikan Microsoft Malaysia sebagai Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) bagi Kerajaan Malaysia selari dengan rancangan Kerajaan untuk memindahkan 80 peratus daripada data kepada awan menjelang 2022.

“Saya turut menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pelbagai kerjasama awam-swasta di antara Microsoft Malaysia bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Celcom Axiata Berhad dan Grab Malaysia,”katanya.

Menurutnya, kehadiran pelaburan gergasi teknologi seperti Microsoft menunjukkan tahap keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan inisiatif MyDigital yang dilancarkan pada Februari tahun ini.

“Saya yakin dan percaya dengan perancangan yang rapi, aspirasi MyDigital akan terus membuahkan hasil dan membawa Malaysia ke mercu kemajuan ekonomi digital yang mampan,”katanya.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.