CITF mengoperasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

PUTRAJAYA – Lanjutan daripada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan penubuhan satu
Pasukan Petugas Khas untuk menguruskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin telah memperincikan lagi bidang kerja dan struktur tadbir urus pasukan tersebut .

Melalui satu sidang akhbar semalam,
Pasukan Petugas Khas dikenali sebagai Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau COVID-19 Immunisation Taskforce (CITF) ini akan diketuai oleh Khairy Jamaluddin yang akan membuat pelaporan kepada Jemaah Menteri.

Badan Bertindak Imunisasi Covid- (CITF) dalam satu kenyataan berkata, struktur CITF menekankan kepada tindakan bersepadu pelbagai Kementerian dan Badan Kerajaan bagi memastikan PICK dapat dilaksanakan dengan kemas, lancar dan teratur dalam mencapai objektifnya.

“Pasukan Pengurusan (Project Management Team) CITF akan diselia oleh dua Pengarah Bersama, iaitu YBhg. Datuk Dr. Chong Chee Keong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan YBhg Leftenan Jeneral Dato’ Mohammad Ab Rahman, Timbalan Panglima Tentera Darat.

“Manakala, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bertindak sebagai urus setia CITF,”katanya.

Kenyataan berkata, CITF telah mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 16 Februari yang lalu bagi memperincikan penyelarasan bidang tugas, struktur kerja dan perancangan keseluruhan PICK.

“Dalam mesyuarat tersebut, MKN telah membentangkan kertas kerja berkaitan Pusat Kawalan CITF di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah serta mekanisma penyelarasan yang menghubungkan pelbagai peringkat ini.

“Menerusi CITF, Perkhidmatan Kesihatan yang merangkumi bidang tugasan Pengurusan Logistik Vaksin,Pendaftaran, Mengenalpasti kategori penerima vaksin,Pemantauan pasca-vaksinasi, Pentadbir vaksin, Pusat Imunisasi di fasiliti KKM dan Pengurusan sumber manusia akan diselaraskan dengan Perkhidmatan Bukan Kesihatan yang bertanggungjawab bagi Pengurusan logistik (utiliti, tempat letak kereta, ICT dan peralatan bukan ICT), Dokumentasi, rekod dan pendaftaran, Pengurusan maklumat Geo-Dataraya, Komunikasi strategik, Pentadbir
Pusat Vaksin di fasiliti awam,Pengurusan pengangkutan penerima vaksin, Pengurusan sumber manusia; Bahagian dan agensi dan Sukarelawan.

“Pasukan Badan Beruniform, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan terlibat sepanjang PICK berlangsung.

“Bagi tujuan pentadbiran, Bilik Gerakan CITF telah diwujudkan di Aras 3, Blok F1, Parcel F, Presint 1, Putrajaya,”katanya.

Rentas7.com

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.