“Bubarkan Parlimen segera, jangan ambil masa lama”

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah berharap Perdana Menteri tidak mengambil masa lama untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membubarkan Parlimen.

Ketua Penyelarasnya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pengumuman Presiden PKR Anwar Ibrahim yang kononnya mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen tidak boleh dianggap remeh.

“Walaupun secara dasarnya Anwar mungkin tidak memiliki sokongan majoriti dan menyakinkan, namun pengumumannya itu menakutkan pelabur dan mencemaskan rakyat. Ini menunjukkan kerajaan yang ada tidak stabil.

“Oleh kerana itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh menunggu lama untuk mencadangkan kepada YDPA bubarkan Parlimen. Pilihan Raya Umum ke -15 perlu bagi menstabilkan kerajaan,”katanya malam ini.

Mustaffa berkata, rakyat Malaysia semakin muak dengan sikap ahli politik yang mengejar kuasa dan menjadikan rakyat sebagai mangsa.

“Kita belum keluar daripada ancaman COVID-19, malah berdepan dengan tekanna ekonomi. Ramai yang kehilangan pekerjaan.

“Namun dek kerana sikap ahli politik yang rakus, rakyat menjadi mangsa. Hentikan semua ini, bubarkan Parlimen segera. Ini jalan paling baik untuk rakyat dan negara,”katanya.

Beliau berkata, keadaan politik negara jika dibiarkan berlarutan akan menyebabkan Malaysia turut berdepan ancaman keselamatan.

“Bila negara tidak stabil kuasa asing akan mula mencari peluang. Contoh terdekat ialah Sabah. Lihatlah bagaimana politik Sabah yang kucar kacir menyebabkan Filipina berani membuat tuntutan ke atas negeri itu.

“Jangan kita dedahkan lagi negeri dan negara yang kita cintai kepada ancaman sebegini.

“Demi rakyat dan negara PUTRA berharap YDPA membubarkan Parlimen secepat mungkin,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.