BALING– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad melahirkan kebimbangan dengan tahap banjir kilat di Kupang.
Menyifatkan semakin buruk, Najmi mendakwa ia berpunca daripada penggondolan hutan di Gunung Inas bagi projek durian musang king.
“Banjir kebelakangan ini ada kelainan, dahulu jika hujan lebat, kenaikan air banjir memakan masa.
“Tapi sekarang ini apabila hujan lebat, ia serentak dengan banjir kilat. Bagi pandangan saya perkara ini kerana struktur hutan di Gunung Inas telah dicemari,” katanya kepada Rentas7.com semalam.
Tambahnya, banjir kali ini juga membawa bersama kandungan lumpur yang begitu tinggi.
“Apabila banjir surut ia meninggalkan lapisan tanah dan susah untuk dibersihkan penduduk.
“Bahkan, spesis ikan tertentu pun kadang-kadang mati akibat kepekatan seperti ini,” katanya.

Beliau berpandangan, penebangan balak secara berleluasa menyebabkan kawasan penampan banjir di gunung tersebut sudah tiada.
“Pada pandangan saya, oleh kerana struktur hutan telah dicemari, penebangan balak secara tidak terkawal.
“Jadi apabila air turun dari tempat tinggi, ia turun tanpa ada lagi sekatan atau penampan. Sebab itulah air naik begitu mendadak,”katanya.
Dalam pada itu, Najmi berkata, kerajaan negeri akan mencari jalan penyelesaian walaupun masalah berpunca daripada penebangan balak itu dibuat pada zaman kerajaan terdahulu.
Banjir kilat melanda Kupang kelmarin menjejaskan 303 buah rumah melibatkan 23 buah kampung.
Kejadian buruk seperti ini pernah berlaku pada November tahun lalu.
Rentas7.com
Leave a Reply