“Dah penat gerakkan jari” askar tembak rambang sempat update Facebook

Thomma

KORAT– Lebih 20 orang maut dalam insiden tembakan rambang yang dilepaskan seorang askar Thailand di timur laut bandar Korat hari ini, lapor media tempatan.

Penyerang dikenali sebagai Sarjan Mejar Jakapanth Thomma yang lengkap dengan peralatan taktikal memaparkan aksi kejinya secara siaran langsung di media sosial.

Lelaki itu juga sempat memuat naik video di Facebook dengan berkata” dah penat gerakkan jari” ketika melakukan serangan itu.

Jurucakap Polis Thailand, Krissana Pattanacharoen yang dipetik AFP berkata, lebih 10 nyawa melayang dan ramai orang awam cedera.

Menurutnya, askar itu melepaskan tembakan di beberapa lokasi berbeza yang lebih 250 kilometer dari kota Bangkok.

Media tempatan, Tv One pula melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam serangan ganas itu manakala 30 cedera.

Thomma dilaporkan terlebih dahulu membunuh komandannya dan dua prajurit lain di sebuah kem askar terletak di Nakhon Ratchasima menggunakan senjata api yang dirampas dari situ.

Penyerang  kemudian menuju ke pusat membeli belah di Terminal 21 menggunakan kenderaan tentera yang dicuri sebelum melepaskan tembakan rambang terhadap orang awam.

Dalam perjalanan, suspek dikatakan turut menyerang sebuah rumah ibadat.

Polis ketika ini telah menutup sebuah pasar raya yang menjadi salah satu lokasi serangan suspek dan lelaki itu masih belum dapat ditahan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.