Individu gagal tampil saringan kedua ditangkap esok

KUALA LUMPUR– Individu yang belum tampil untuk ujian saringan kedua pada hari ke-13 ‘home quarantine’ akan ditangkap untuk didakwa di mahkamah mulai esok.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, indvidu yang terbabit diarahkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat untuk melakukan ujian saringan kedua.

“Mulai esok (27 Julai 2020), PDRM akan mengambil tindakan menangkap dan mendakwa di mahkamah individu-individu yang masih belum tampil untuk ujian saringan kedua pada hari ke-13 home quarantine,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan pada 24 Julai lalu telah memutuskan supaya semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke Malaysia (expatriate, pasangan dan tanggungan rakyat Malaysia) perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin yang ditetapkan.

“Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan COVID-19.

“Sehingga kini, seramai 839 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 6 Stesen Kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor,”katanya.

Menurutnya, mereka pulang dari 17 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.