Pekan Tawar lengang..

Keadaan pekan Tawar yang lengang berbanding kebiasaaannya

KUALA KETIL-Lengang! itu situasi di Pekan Tawar hari ini.

Boleh dikatakan semua kedai ditutup dalam tinjauan Rentas7.com hari ini.

Hanya kedai telekomunikasi dilihat beroperasi setakat tengah hari tadi.

Bagaimanapun, laluan pekan Tawar yang menjadi penghubung antara pekan Kuala Ketil dengan Kupang dan Baling masih dilalui kenderaan dari luar.

Bas, kereta dan penunggang motosikal antara yang dilihat melalui kawasan berisiko itu.

Kluster Tawar yang meletus sejak Rabu lalu mengundang kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Setakat ini Baling mencatatkan 14 kes COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar B Mansor Zakaria berkata, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi terbabit sentiasa mengambil tindakan pantas dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Katanya, keadaan Kluster Tawar di kawasan Ketil juga dalam keadaan terkawal dan rakyat dinasihati merujuk saluran yang tepat dalam mendapatkan maklumat.

Terdahulu, kerajaan negeri memutuskan aktiviti penjualan makanan di kawasan dilanda pandemik COVID-19 hanya dibenarkan melalui kaedah bawa pulang atau penghantaran sahaja.

Selain itu, taman-taman awam di kawasan berisiko turut diarahkan tutup sementara manakala operasi peruncitan seperti kedai runcit, kedai 24 jam dan kedai serbaneka di stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

Bagi operasi pasar malam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan dihadkan dari pukul 4 hingga 8 malam sahaja.

Arahan itu berkuatkuasa kelmarin selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri dipengerusikan, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.