Kluster Telaga tamat, penularan di Kedah semakin terkawal

KUALA LUMPUR– Kluster Telaga di Kedah diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hati ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu melibatkan 16 warganegara dan tidak melibatkan kes kematian.

Menurutnya, ujian makmal IMR telah menunjukkan virus yang dikultur daripada kes kluster ini mempunyai mutasi D614G yang menyerupai virus Kluster PUI Sivagangga dan Kluster Tawar.

“Sukacita dimaklumkan Kluster Telaga di Kedah telah pun diisytiharkan tamat tempoh pengawasan selama 28 hari, iaitu 2 tempoh inkubasi,”katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, situasi penularan di Kedah kini dilihat semakin terkawal hasil pelbagai aktiviti Kesihatan Awam di lapangan.

“Terima kasih kepada semua penduduk yang memberi kerjasama rapat kepada KKM dalam mengawal penularan COVID-19. Syukur Alhamdulilah,”katanya.

Kluster Telaga sebelum ini membabitkan kawasan Kota Setar, Padang Terap, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Kuala Muda.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.