Jangan lupakan BMF, kuasai ekonomi negara

Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Umat Islam diingatkan supaya tidak melupakan kempen Buy Muslim First (BMF) walaupun pucuk pimpinan kerajaan sudah bertukar.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, kempen itu dicetuskan akibat tekanan perkauman yang kuat semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Ketika fasa awal kempen BMF giat dijalankan, kita dapat lihat produk umat Islam menerima permintaan amat tinggi.

“Kini dengan pertukaran kerajaan serta tiada lagi tekanan perkauman seperti sebelum ini, kempen BMF perlu digiatkan. Fasa umat Islam Malaysia membina ekonomi yang kukuh baru bermula, jadi jangan hentikan,”katanya.

Mustaffa berkata, beliau yakin kaum Melayu akan menguasai ekonomi negara dalam tempoh 15 tahun akan datang sekiranya BMF terus diamalkan.

“Masalah peniaga Melayu hari ini ialah mendapatkan barangan mentah yang kini dimonopoli oleh bukan Islam.

“Tetapi PAMM yakin semua ini dapat diatasi dalam tempoh 15 tahun akan datang dengan syarat umat Islam tidak hangat-hangat tahi ayam,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dinasihati supaya hentikan momokan Melayu pemalas dan lemah dalam perniagaan.

Katanya, Tun Mahathir Mohamad tanpa kuasa politik juga tidak akan berjaya seperti sekarang bahkan mungkin akan merayu bantuan kerajaan.

“Kamu (Tun Mahathir) bersama anak-anak kaya raya pun kerana kuasa politik. Maka hentilah memperlekehkan orang Melayu yang kononnya lemah dalam berniaga dan pemalas.

“Sekiranya kamu bukan Perdana Menteri, adakah kamu dan anak-anak akan berada seperti sekarang? Silap hari bulan kamu nak berniaga pun tak pandai,”katanya.

MalaysiaGazatte pada 12 May melaporkan kenyataan Tun Mahathir yang menyifatkan kaum Melayu mempunyai banyak kelemahan dan disebabkan itu tidak berjaya dalam perniagaan dan perusahaan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.