Solat Tahajjud kunci kejayaan anak peraih ikan

Rohaikal dan Rohaizat Mansor menunjukkan keputusan SPM 2021

BALING – Bangun solat Tahajjud kunci rahsia anak peraih ikan meraih 7 A 2 B dalam SPM 2021 diumumkan Khamis lalu.

Rohaikal Rohaizat,18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera itu meraih keputusan A+ bagi subjek Bahasa Melayu dan Sains dan A- untuk Ekonomi.

Pelajar itu mencatatkan A untuk subjek Pendidikan Islam, Sejarah, Perniagaan, dan Tasawwur Islam manakala B+ bagi subjek Matematik dan B untuk Bahasa Inggeris.

Anak kelahiran Kampung Charok Gorok itu berkata, solat Tahajjud dijadikan sebagai satu amalannya dan rakan sebelum memulakan ulang kaji .

“Menjelang musim peperiksaan, saya bersama rakan- rakan di asrama akan bangun awal untuk qiyamullail kemudian disudahi dengan mengulangi kaji pelajaran, mencuba menjawab soalan soalan subjek yang kami lemah dan berbincang bersama topik pembelajaran .

“Seterusnya ,saya juga selalu bertemu dengan guru untuk bertanya soalan dan maklumat yang saya kurang fahami,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu juga tidak akan hadir tanpa dorongan kedua ibu bapanya.

“Tidak lupa juga dorongan dari mak ayah saya dari segi mencukupkan keperluan untuk saya belajar dan memberi semangat dari segi rohani agar saya tidak putus asa.

“Kesimpulannya saya tidak akan berjaya sekiranya tiada dorongan dari diri saya sendiri, bimbingan dari ibu bapa , tunjuk ajar guru saya serta kerjasama dari rakan seperjuangan,” katanya kepada RENTAS7 semalam.

Rohaikal berhasrat menyambung pelajaran di Intitusi Pendidijan Perguruan (IPG) dan bercita-cita menjadi seorang pendidik agar dapat berbakti kepada masyarakat.

Meninggalkan nasihat, Rohaikal berkata, para pelajar yang bakal menduduki SPM tahun ini agar tidak tinggal solat dan teruskan berusaha.

“Pedulikan kata-kata negatif dari mulut orang, percaya pada diri sendiri , Insha Allah kejayaan milik anda,” katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.