Pekan Mahang ‘mati’

Sempadan Mahang Kedah dengan Negeri Perak

ALOR SETAR– Pekan Mahang  yang bersempadan Bukit Bertam Negeri Perak yang kebiasaannya meriah dengan aktiviti perniagaan kini ibarat pekan ‘mati’.

Ia sunyi tanpa aktiviti sosial di kalangan penduduk setempat.

Ini kerana penduduk di kedua-dua buah negeri mengambil sikap patuh dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan RENTAS7 petang tadi di sempadan Kedah-Perak mendapati peniaga warung dan kedai tidak membuka kedai mereka.

Hanya kedai runcit dilihat beroperasi dengan penduduk yang keluar hanya bertujuan membeli barangan keperluan.

Difahamkan, peniaga makanan berniaga di sebelah pagi.

Pekan Mahang

Salah seorang penduduk ingin dikenali sebagai Wan, 27, berkata, pekan berkenaan tidak lagi meriah sejak negara ini mengalami penularan wabak COVID-19.

Menurutnya, pematuhan SOP oleh penduduk disebabkan kesedaran mereka terhadap bahaya wabak COVID-19 selain komitmen tinggi pihak berkuasa menjalankan tugas.

“Pekan ni dah tak semeriah dulu. Orang berniaga pun dalam keadaan takut-takut sekarang.

“Sebelum COVID-19, sempadan Kedah-Perak di sini meriah dengan aktiviti berniaga dari pagi sampai malam. Dari berniaga buah, kedai runcit sampailah ke warung dan kedai makan,” katanya.

Katanya, penularan wabak COVID-19 yang semakin serius ketika ini menyebabkan orang kampung berniaga dalam keadaan takut-takut,” katanya.

Wan berharap negara ini dapat bebas daripada penularan wabak COVID-19 selepas ini.

“InshaAllah sama-sama lah kita memohon doa dan jaga SOP,” katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.