Bom lama dalam ladang dimusnahkan

Anggota UPB Kontinjen Johor berjaya memusnahkan bom berkenaan

JOHOR BAHRU-Sebuah bom lama dimusnahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Kontinjen Johor bersama Sub Unit UPB IPD Kluang dalam Ladang Tereh Selatan hari ini.

Polis Johor dalam kenyataan berkata, bom lama atau Unexploded Ordnance (UXO) jenis Shell Meriam 85 mm itu dijumpai semasa kerja-kerja penambaikan jalan masuk ke kuarters pekerja ladang.

Menurutnya, bom itu dipercayai dilancarkan sewaktu perang dunia kedua di antara Disember 1942 hingga Ogos 1945.

“UPB Kontinjen Johor telah menjalankan pembersihan keselamatan di sekitar jumpaan UXO tersebut bagi memastikan tiada objek lain selain dari jumpaan tersebut sebelum tindakan pemusnahan dilakukan.

Tindakan pemusnahan In Situation (In-situ) telah dijalankan dengan menggunakan teknik high order melalui kaedah elektrik,” kata kenyataan.

Kenyataan menyebut, pemusnahan telah dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kehilangan ke atas nyawa dan kerosakan harta benda.

“Polis Johor ingin menyeru orang ramai sekiranya menjumpai objek yang mencurigai atau dipercayai bom, sila lapor segera kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut

“Diingatkan juga supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” katanya.

Rentas7.com/ Foto: Polis Johor

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.