Tiada keputusan rasmi tutup Kedai di Baling

Zaid kanan bersama ADUN Kuala Ketil, Mejar B Mansor Zakaria dalam satu wawancara sebelum ini

BALING– Tiada arahan rasmi penutupan kedai dalam daerah Baling setakat ini.

Setiausaha Kelab Usahawan daerah Baling, Mohd Zaid Ab Mokti berkata, hasil maklumat Pejabat Kesihatan daerah Baling, pandemik COVID-19 dalam daerah ini terkawal.

“Isu penutupan kedai telah dibangkitkan dan jawapan yang kita terima tiada satu kedai pun diarah tutup buat masa ini,”katanya kepada Rentas7.com hari ini

Bagi kes di Kampung Pisang katanya, salah satu kedai ditutup kerana pemiliknya dikuarantin.

“Dalam kes ini, tokey kedai jalani kuarantin selama dua minggu dan keputusan awalnya juga negatif.

“Oleh kerana dia tidak mempunyai pengganti, kedai berkenaan terpaksa ditutup. Sekiranya ada pengganti kedainya boleh beroperasi seperti biasa,”katanya.

Zaid berkata, masyarakat diharap tidak menularkan maklumat tidak sahih bagi mengelakkan panik dalam masyarakat.

“Saya lihat ramai yang viral kononnya beberapa pasaraya dan premis di Baling ditutup. Tindakan ini akan jejaskan perniagaan kerana yang sahihnya tidak ada arahan menutup kedai secara rasmi.

“Saya harap masyarakat lebih berhati-hati dan paling penting jaga prosedur operasi standard (SOP),”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.