Tangani G25 segera sebelum api menjadi marak-PAS Kedah

ALOR SETAR– PAS mengingatkan PH supaya segera menangani G25 yang mengeluarkan kenyataan menyentuh agama Islam di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya berkata, sikap lembik PH terhadap G25 ibarat membiarkan api kecil mula membakar dan akhirnya akan menjadi lebih besar.

Menurutnya, PH perlu segera menangani G25 dengan kuasa yang ada sebelum api tersebut menjadi marak dan besar membakar perasaan hati umat Islam yang majoriti dalam negara ini.

“PAS Kedah terpanggil menyatakan kekesalan terhadap sikap lunak kerajaan (pimpinan) PH yang membiarkan G25 mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perkara agama Islam dalam negara ini.

“Peringatkan mereka dengan tindakan segera bahawa elak mengapi-apikan hak kebebasan berfikir, bersuara dan bertindak yang terbabas. Manusia dilahirkan bebas tetapi ada batasnya,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, G25 merupakan kumpulan bekas penjawat awam yang sejak mutakhir ini galak mengeluarkan kenyataan liberal provokatif seperti kebebasan agama, ikut suka peribadi dan hak individu mencabar institusi.

“Terbaharu mereka menyuarakan lagi mengenai hak murtad terhadap penganut Islam yang dihalang, bagi mereka, perkara halangan ini bercanggah dengan Perlembagaan negara mengenai kebasan beragama,”katanya.

Ahmad berkata, Islam adalah agama rasmi negara ini namun tiada paksaan untuk menganut Islam.

“Tetapi, kami ingin menegaskan, apabila sudah berada di dalam Islam, seseorang itu tidak boleh sesuka hati untuk keluar dan menukar agama seperti mudahnya menukar pakaian,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.