KFA tambah nilai tuntutan Akhyar, JDT tak boleh lari

ALOR SETAR– Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan menambah nilai tuntutan pampasan terhadap bekas pemain kontroversinya, Ahkyar Rashid, lapor Warta Kedah

Setiausaha Kehormatnya, Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya merasakan jumlah RM300,000 masih belum mencukupi dan hanya sepadan dengan nilai pampasan menebus baki kontrak.

Menurutnya, KFA hanya akan menerima RM327,000 jika ditambah dengan yuran perundangan dan sebagainya.

“Tetapi bagaimana dengan soal latihan, perbelanjaan yang kita lakukan untuk ‘menaikkan’ pemain itu sebelum ini kerana jumlah itu juga sepatutnya diambil kira.

“Kita telah menerima nasihat dari peguam yang mengatakan boleh ‘masuk’ kali kedua yang memungkinkan nilai pampasan itu ditambah,”katanya seperti dilaporkan hari ini.

Terdahulu, Asmirul menyempurnakan penyampaian faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada keluarga pencarum yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kampung Tengah Kuala Kedah.

Tambahnya, terpulang kepada Akhyar untuk membuat rayuan mengurangkan nilai pampasan kerana itu adalah haknya.

Tegas Asmirul, JDT juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Dalam hal ini kita ambil tindakan terhadap kedua-duanya iaitu Akhyar dan JDT. Kes Akhyar telah dibawa ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang mana kita dah dapat keputusannya sementara kes JDT masih belum berlangsung, masih ada di FAM.

“Kalau tak selesai di FAM atau keputusan itu masih belum memihak kepada kita, KFA akan teruskan kes itu ke pihak berwajib seterusnya,” katanya.

Konflik antara KFA, Akhyar dan JDT tercetus susulan pemain sayap lincah itu meninggalkan Kedah dengan menyertai JDT pada Januari tahun lalu.

Akhyar dikehendaki membayar RM210,000 untuk menebus baki kontrak bersama KFA sebelum meninggalkan pasukan manakala pasukan baharu perlu membayar RM75,000 kepada KFA.

KFA bagaimanapun tidak berpuas hati dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menetapkan pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan ingin mendapatkan khidmat Akhyar membuatkan persatuan itu membawa kes berkenaan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sabtu lalu, Asmirul melalui kenyataan Facebooknya mengumumkan keputusan AIAC yang merujuk kepada Majlis Timbangtara telah memihak KFA.

Rentas7.com/ Foto KFA

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.