PUTRA laung semboyan, siap sedia hadapi PRU-15

KUALA LUMPUR- Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) siap siaga berdepan Pilihan Raya Umum (PRU)-15 yang mungkin berlaku bila-bila masa.

Ketua Penyelaras PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus (gambar) berkata, situasi politik terkini menggambarkan tiada siapa akan diangkat sebagai Perdana Menteri melainkan PRU diadakan.

Menurutnya, PUTRA berharap Parlimen segera dibubarkan demi kestabilan negara ini.

“Selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat perebutan kuasa, negara ini berdepan pelbagai ketidaktentuan terutamanya melibatkan keselamatan dan ekonomi negara.

“Masa depan negara samar sekiranya perebutan kuasa ini tidak diakhiri kepada suara rakyat. Untuk menghadapi PRU15, jentera PUTRA telah bersiap sedia di seluruh negara,”katanya.

Tambahnya, PUTRA bagaimanapun percaya dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agung dalam menyelesaikan kemelut politik sedang berlaku.

Terdahulu, beliau hadir dalam majlis pelancaran PUTRA Bahagian Ampang, kelmarin.

Dalam majlis itu, Presiden PUTRA, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali mengumumkan nama Mustaffa Idrus sebagai calon PUTRA bagi Parlimen Merbok, Sungai Petani, Kedah.

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, jumlah sebenar kerusi bakal ditandingi PUTRA belum boleh didedahkan kepada umum.

“Apa yang boleh saya katakan kita akan bertanding di semua kerusi PH termasuk di Kedah.

“Namun jumlah sebenar biarlah ia diumum oleh PUTRA peringkat pusat,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.