Kerajaan ulangi kesilapan laksanakan PPSMI

KOTA BHARU– Pelaksanaan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan memberikan kesan buruk kepada prestasi pelajar.

Presiden PERADABAN, Datuk A Aziz Deraman berkata, dapatan dan rumusan kajian semasa pelaksanaan kali pertama dahulu sudah membuktikan kesan negatif kepada pelajar.

Menurutnya, hasil kajian itu menunjukkan kemerosotan pencapaian dan betapa besarnya jumlah kecundang para pelajar bagi menguasai kedua-dua subjek penting ini.

“Tahap penguasaan bahasa Melayu pun masih rendah di kalangan sebahagian pelajar terutama di luar bandar, apalagi kelemahan tahap pencapaian bahasa Inggeris mereka.

“Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) memandang bahawa kerajaan akan mengulangi kesilapan lagi sekali sekiranya PPSMI dilaksanakan semula dalam bahasa Inggeris,”katanya semalam.

Media pada 31 Januari melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan berhasrat mengembalikan PPSMI dalam sistem pendidikan negara.

Dr Mahathir ingin mengembalikan PPSMI

Beliau berkata, bahasa Melayu lebih daripada cukup lengkap bagi tujuan penyampaian ilmu di semua peringkat, istilah dan padanannya mencukupi dan sudah begitu lama disediakan.

Sehubungan itu, beliau berkata, PERADABAN mengharapkan pihak kerajaan hendaklah mengambil kira pandangan pakar-pakar pendidikan, sarjana, ilmuwan dan bahasawan apabila mahu membuat keputusan sepenting ini di bidang pendidikan.

“Pemikiran kolektif perlu ada dan elakkan keputusan yang semata-mata mahukan penguasaan bahasa Inggeris yang tidak didasarkan kepada aspek pedagogi atau sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang betul.

“Jika Malaysia mahu membangunkan dirinya ke tahap sebuah negara maju, lihatlah apa yang dilakukan di negara-negara maju yang lain seperti Jepun, Korea, Jerman, Perancis dan lain-lain negara,”katanya.

Tambahnya, teladan kejayaan kesemua negara itu sudah sekian lama ada dibuktikan.

“Hal ini tidak bermakna rakyat Malaysia tidak perlu mempelajari atau menguasai bahasa-bahasa utama dunia misalnya bahasa Inggeris.

“Bahasa-bahasa lain juga memang penting dikuasai sebagai wahana komunikasi misalnya bahasa Arab, Sepanyol, Perancis malahan jika mungkin adalah satu dua bahasa yang lain juga.

“Para ilmuwan dan pakar pendidikan digesa untuk memandu Kerajaan dalam membina sistem dan dasar pendidikan yang komprehensif dan menuju kemajuan masa hadapan yang lebih cemerlang,”katanya.

A Aziz berkata, dalam senario masa kini, kurikulum pendidikan kebangsaan perlu dilihat secara menyeluruh demi mencapai matlamat perpaduan bangsa Malaysia yang kian retak dan jati diri negara yang kian luntur.

“Bahasa adalah asas pembinaan peradaban bangsa. Maka langkah-langkah yang bijaksana dan lebih berhikmah menuntut fikiran dan kesatuan pemikiran yang mendalam.

“Ilmu sepatutnya disampaikan dalam bahasa negara sendiri tetapi tentulah dengan tidak menolak kepentingan bahasa komunikasi antarabangsa,”katanya.

Beliau menjelaskan, strategi, kaedah dan pendekatan yang betul dan benar mesti dicari dengan merujuk kepada pelbagai pengalaman dalam pembangunan negara dan pembinaan bangsa bersandarkan pengalaman pelbagai negara maju yang lain. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Penarikan balik PPSMI sebelum ini oleh Kerajaan sendiri sudah cukup memberikan pedoman yang berfaedah,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.