Perairan negara terus terkawal, 25 nelayan asing ditahan

KUALA TERENGGANU– Seramai 25 nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara di sini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu, semalam.

Menurut kenyataan APMM, sebelum kumpulan nelayan itu ditahan, Pusat Operasi (PUSOP) APMM Terengganu menerima maklumat awam berhubung pencerobohan tersebut pada jam 8 pagi.

Menurutnya, sekumpulan bot nelayan asing Vietnam tersebut dikesan di kedudukan 56 hingga 60 batu nautika timur Kemaman sekitar kawasan sempadan perairan Terengganu-Pahang.

Susulan itu katanya, PUSOP APMM Terengganu segera menghubungi Kapal Maritim (KM) Gemia yang sedang memantau di kawasan sektor Quebec iaitu 20 batu nautika dari Pulau Tenggol, kira-kira 40 batu nautika dari lokasi kejadian untuk memburu bot nelayan asing Vietnam (BNAV).

“Apabila KM Gemia muncul, kesemua bot melarikan diri keluar dari tempat tersebut menuju ke arah sempadan perairan.

“Pada masa sama KM Gemia berjaya menahan dua BNAV yang sedang leka melakukan aktiviti tunda ganding,”katanya.

Kumpulan nelayan Vietnam yang ditahan APMM

Katanya, bot pertama membawa 12 awak-awak termasuk tekong dan bot kedua membawa 13 awak-awak termasuk tekong yang kesemuanya warga Vietnam yang tidak boleh berkomunikasi Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Melayu.

Katanya, selepas semua maklumat berkaitan bot, hasil tangkapan dan kru diambil, kesemua BNAV dihalau keluar dari perairan Malaysia.

“Sesuai dengan arahan semasa kerajaan susulan wabak penyakit berjangkit COVID-19, KM Gemia telah mengekori kesemua BNAV sehingga mereka keluar dari sempadan perairan Malaysia.

“Maritim Malaysia mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan komuniti maritim dalam penyaluran laporan menerusi saluran rasmi seperti ini.

“Kepentingan berbuat demikian akan membantu operasi kawalan sempadan oleh pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan akan dapat diperkukuhkan lagi,”katanya.

Rentas7.com/Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.