Syeikh Dr dari Yaman dedah lima rahsia kejayaan Malaysia kawal COVID-19

Syeikh Dr Abdullah Ali Al Yamani

KUALA LUMPUR-Kecekapan Malaysia mengawal penularan COVID-19 dipandang tinggi banyak pihak terutamanya negara luar.

Di Asia Tenggara, Malaysia negara pertama mengambil langkah mengawal pergerakan rakyat.

Langkah itu dilaksanakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri yang baharu menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan pada 24 Februari lalu.

Pada 16 Mac, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berkuatkuasa 18 MAC dan kini dilanjutkan sehingga 9 JUN.

Malaysia ketika penularan wabak itu mengganas berada di kedudukan pertama daripada 12 negara di Asia Tenggara.

Hari ini, Malaysia berjaya melandaikan lekuk COVID-19.

Setakat hari ini Malaysia telah berjaya merekodkan sebanyak 5223 kes sembuh berbanding 6742 kes keseluruhan.

Lima faktor Malaysia berkurangan COVID-19

Pengkaji dan guru agama, Syeikh Dr. Abdullah Ali Al Yamani berkata, Malaysia negara terhebat dan berjaya dalam mengawal penularan COVID-19 berbanding negara lain.

Menurutnya, dalam sudut agama, kejayaan itu sebenanya disokong lima faktor utama yang mungkin tidak disedari ramai

“Faktor pertama kejayaan Malaysia mengawal dan mengurangkan COVID-19 ialah dengan pelaksanaan PKP.

“Pemimpin Malaysia tidak melaksanakan perintah ini mengikut hawa nafsu. Namun mereka mencontohi kaedah zaman para sahabat Nabi Muhammad,”katanya dalam temubual ekslusif bersama Rentas7.com

Syeikh Dr Abdullah mendedahkan rahsia Malaysia mengawal COVID-19

Beliau berkata, “lockdown” pertama menyekat virus dilaksanakan ketika
Zaman Khalifah Sayyidna Umar Ibni Alkhatab R.A pada tahun 18 hijrah.

“Zaman itu diperintah Khalifah Umar Alkhatab manakala Amru Ibnu Al’as adalah wakil rakyat di Syam.

“Syam masa itu merangkumi Palestine, Syria, Jordan dan Lubnan. Kesemua kawasan ini diserang wabak taun Am-was selama sebulan.

“Taun ini membunuh antara 25,000 hingga 30,000 orang,”katanya.

Syeikh Dr. Abdullah berkata, bagi menyekat wabak tersebut, kedua-dua pemimpin itu melaksanakan perintah iaitu penduduk dalam negeri tidak dibenarkan keluar dan mereka di luar tidak boleh masuk.

“Kedua-dua pemimpin ini juga turut mengarahkan penduduk yang sihat berpindah ke kawasan selamat seperti ke bukit dan gunung.

“Ini kerana taun pada zaman itu belum sampai ke kawasan bukit dan gunung,”katanya.

Tambah Syeikh Dr Abdullah, pengorbanan petugas kesihatan, askar dan polis Malaysia juga penyumbang yang sangat besar dalam mengawal penularan wabak COVID-19

“Setiap mereka menjalankan tugas mengikut bidang masing-masing. Mereka ibarat satu saf yang kukuh di medan perang. Inilah wira-wira negara.

“Dengan kerjasama ketiga-tiga pihak ini, COVID-19 semakin menurun dan dengan izin ALLAH akan terhapus sepenuhnya,”katanya.

Sedekah penghapus COVID-19

Syeikh Dr. Abdullah berkata, sedekah dilaksanakan pemimpin Malaysia termasuk Agong dan Pemaisuri menjadi penawar penyakit COVID-19.

Menurutnya, para pemimpin berkenaan menunjukkan contoh tauladan yang sangat baik dan dicontohi rakyat.

“Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Hajah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua mulai Mac hingga Ogos untuk disalurkan ke Tabung COVID-19.

“Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri juga melakukan hal sama dengan pemotongan gaji selama dua bulan.

“Jadi mereka ini pembuka pintu sedekah dan pintu-pintu syifa (kesembuhan). Nabi bersabda: Bersedekah membuka pintu-pintu syurga,”katanya.

Katanya, dengan bersedekah, ALLAH tidak akan membiarkan hamba-hamba-NYA berada dalam kesusahan.

“Banyak ayat al-Quran termasuk hadis Nabi menyeru manusia untuk bersedekah. Dengan bersedekah ALLAH menolak dan menahan satu-satu musibah.

“Nabi bersabda dalam makna hadis: ‘sedekah itu menolak bala’.

“Cuba kita bayangkan, penduduk Malaysia sahaja dianggarkan 32 juta (laporan Berita Harian 19 Mac 2019).

“Jika dicampur dengan warga asing (Jabatan Perangkaan menggangarkan jumlah warga asing yang tinggal secara sah di negara ini pada 2018 adalah sekitar 3.3 juta orang, sumber Berita Harian 19 Mac 2019)

“Tetapi bilangan pesakit meninggal dunia hanyalah 109 orang (setakat hari ini) daripada keseluruhan jumlah itu.

“Jika dibandingkan dengan negara lain yang merekodkan ribuan yang mati, Malaysia sangat bertuah. Inilah bantuan ALLAH, rakyat Malaysia perlu bersyukur,”katanya.

Pemimpin berdoa, rakyat sabar kunci kejayaan

Syeikh Dr. Abdullah berkata, kemunculan Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca doa secara langsung di televisyen dan diaminkan rakyat antara usaha yang diredhai ALLAH.

“Tidak ramai pemimpin dunia yang boleh muncul secara live di kaca televisyen.

“Apabila pemimpin dan rakyat saling berdoa memohon perlindungan ALLAH maka negara tersebut mengundang rahmat dan bantuan ALLAH,” katanya yang  juga merupakan suami kepada warganegara.

Syeikh Dr Abdullah bersama isterinya Y.M Nik Masrinazirah Nik Man

Selain itu katanya, sikap sabar rakyat Malaysia termasuk pemimpin menjadi faktor kelima dan terakhir mengapa COVID-19 ini dapat dikawal.

“Saya lihat pemimpin sabar melaksanakan tanggungjawab, petugas barisan hadapan pula sabar menjalankan tugasan dan rakyat sabar menuruti arahan.

“Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang bersabar dan ayat berkenaan perkara ini dirakam dalam Surah Al-Baqarah ayat 153,”katanya.

Syeikh Dr Abdullah berkata, beliau mendoakan Malaysia terus aman dan damai dan diperintah pemimpin yang mengutamakan ajaran Islam.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.