Deklamasi Puisi “Di Tanah Merong Mahawangsa” Depan Raja Muda Kedah

Dato' Dr Mustaffa menyampaikan puisi "Di Tanah Merong Mahawangsa"

ALOR SETAR-Puisi “Di Tanah Merong Mahawangsa” bergema di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah Darul Aman, pada Program Alor Setar Membaca Senyap sempena Hari Sabtu Tanpa Kenderaan di Dataran Sungai Raja, Alor Setar, Sabtu lalu.

Turut berangkat hadir ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman.

Puisi istimewa itu merupakan nukilan Dato’ Dr. Mustafa Idrus daripada Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah yang mengangkat sejarah Kesultanan Kedah serta nilai warisan yang perlu terus dipelihara.

Persembahan puisi berkenaan menjadi antara pengisian menarik perhatian apabila disampaikan di hadapan Sultan dan Raja Muda Kedah dalam suasana penuh tertib serta bersemangat.

Dato’ Mustaffa bergambar kenangan bersama Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah; Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah serta dua anakanda baginda

Dato’ Dr. Mustafa Idrus yang dijemput khas bagi mempersembahkan puisi berkenaan berkata, beliau amat teruja apabila diberi peluang membaca karya tersebut pada program berkenaan.

Katanya, beliau tidak menyangka dapat membaca puisi “Di Tanah Merong Mahawangsa” di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah Darul Aman.

Sultan Kedah ( tengah) dan Dato’ Dr Mustaffa dari kanan

Menurut beliau, puisi berkenaan berkisarkan sejarah raja-raja dan Negeri Kedah yang menjadi kebanggaan rakyat sejak sekian lama.

Dato’ Mustaffa bergambar bersama Datuk Bandar Alor Setar

“Karya ini turut membawa pesanan supaya umat Islam sentiasa menjunjung institusi Kesultanan sebagai payung tempat berlindung, di samping menjaga warisan tanah air serta amanah yang diwariskan oleh nenek moyang kita rakyat Kedah,” katanya.

Katanya, rakyat perlu terus menghargai sejarah, mempertahankan jati diri dan memastikan warisan negeri tidak hilang ditelan zaman.

Tambah beliau, institusi Kesultanan merupakan lambang kedaulatan dan penyatuan rakyat yang wajar dihormati serta dijunjung tinggi.

Program Alor Setar Membaca Senyap dianjurkan dengan kerjasama PESKAP, Komkura Alor Setar dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Penganjuran program itu menjadi platform memperkukuh budaya ilmu, memartabatkan kesusasteraan Melayu serta menyemai kecintaan masyarakat terhadap sejarah dan warisan Negeri Kedah.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.