Muhyiddin tuntut GRS beri “servis” terbaik untuk rakyat Sabah

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberikan “servis” terbaik kepada rakyat “Negeri Di Bawah Bayu”.

Tuntutan Perdana Menteri itu dibuat sejurus GRS menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan memperolehi 38 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Muhyiddin bersyukur ke hadrat ALLAH s.w.t di atas kemenangan GRS dalam Pilihanraya Negeri Sabah yang berlangsung hari Sabtu.

Menurutnya, kemenangan itu menunjukkan keyakinan rakyat kepada parti-parti dalam GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah.

“Saya mengucapkan tahniah kepada calon-calon GRS yang menang dalam pilihan raya ini. Inilah masanya untuk anda semua mencurah khidmat bakti yang terbaik kepada rakyat dan membuktikan bahawa kita sebenar-benarnya adalah prihatin kepada rakyat.

“Yang penting GRS yang akan membentuk Kerajaan Negeri Sabah mestilah berusaha sedaya upaya untuk menunaikan segala komitmen yang dinyatakan dalam Aku Janji GRS,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di negeri Sabah yang telah memilih calon-calon GRS.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada semua petugas dan sukarelawan yang telah membantu berkempen untuk calon-calon GRS dalam pilihan raya ini,” katanya.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.