“PN menang, rakyat Sabah bijak memilih”- Dr Ahmad Samsuri

Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR-Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini membuktikan rakyat negeri itu selesa dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemenangan itu merupakan manifestasi pilihan tulus rakyat Negeri Sabah.

Menurutnya, rakyat Sabah juga telah melihat dan merasai sendiri kemampuan PN yang dapat mentadbir dengan lebih baik di peringkat Persekutuan.

“Selain itu, saya percaya ia turut dipengaruhi oleh faktor calon GRS yang lebih berupaya dan kompeten selain sokongan parti bertanding yang berpengalaman berbanding saingan.

“Dalam era yang mencabar hari ini, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti dan berkeupayaan tinggi bukan sahaja di peringkat Kerajaan Persekutuan, tetapi juga di peringkat kerajaan negeri,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah
kepada semua pihak yang membantu kemenangan ini terutamanya rakyat Sabah yang bijak memilih.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah hari ini,”katanya.

GRS yang terdiri daripada PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) meraih majoriti mudah dengan kemenangan di 38 kerusi berbanding 30 kerusi bagi pencabar terdekat iaitu Warisan Plus manakala parti Bebas memenangi empat kerusi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.