Hapuskan aliran vernakular, lompat parti sebelum PRU-15

SUNGAI PETANI– Sistem pendidikan, demokrasi atau apa sahaja yang menyebabkan ketidakstabilan negara perlu diperbaiki sebelum PRU-15.

Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus (gambar) berkata, perebutan kuasa termasuk sikap tidak menghormati sesama kaum tidak akan selesai sekiranya negara mengamalkan sistem sedia ada.

“Kita lihat hari ini Bangsa Melayu diperlekehkan termasuk agama Islam dihina oleh satu kelompok yang lain.

“Timbulnya budaya rasis ini apabila terdapatnya aliran sekolah vernakular . Sistem ini perlu dihapuskan terlebih dahulu di Malaysia,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Beliau berkata, budaya lompat parti yang memberikan kesan buruk kepada kestabilan kerajaan termasuk ekonomi juga perlu diselesaikan melalui undang-undang lebih ketat.

“Sampai bila masalah lompat parti akan selesai? Cuba kita lihat apa yang sedang berlaku di negara ini.

“Ahli politik di ‘satu pihak’ tidak pun endahkan nyawa rakyat yang diancam COVID-19. Mereka sibuk membeli Ahli Parlimen demi menukar kerajaan tanpa ambil tahu keadaan ekonomi yang goyah akibat wabak berkenaan. Inilah yang saya sebut sebagai menjejaskan kestabilan,”katanya.

Mustafa berkata, sistem negara ini boleh digantikan kepada sistem lebih baik dan telus melalui pengisytaharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Tempoh darurat boleh diumumkan Yang di-Pertuan Agong sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon untuk membuat pembubaran Parlimen.

“Dalam tempoh darurat, pihak lain tidak lagi boleh menentang untuk kekalkan sekolah vernakular atau apa saja yang selama ini menjadi masalah kepada negara.

“Menurut Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Tertinggi yang kedudukan mengatasi semua orang lain di Persekutuan Malaysia dan tidak boleh didakwa di mana-mana kecuali di Mahkamah Khas mengikut Bahagian XV Perlembagaan Persekutuan

“YDPA boleh menggunakan kuasa mutlak untuk menggantung Parlimen dan mengisytiharkan darurat bagi menjaga keselamatan negara, ekonomi serta kententeraman awam terpelihara. Ini demi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat umum terpelihara,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.