Dr Noor Hisham jelas isu tular dua lelaki gelang pink

Dua lelaki gelang pink yang tular di media sosial

KUALA LUMPUR-Dua individu memakai gelang merah jambu dan berlegar di tapak pembinaan seperti yang tular di media sosial disahkan bukan disaring kerana kontak rapat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua pekerja terbabit termasuk dalam 264 daripada 273 individu yang telah menjalani saringan surveillance (pemantauan) tapak bina.

“Mereka berada di dalam kawasan tapak bina (rumah kongsi basement 1 dan 2 dan rumah kongsi tepi sungai).

“Mereka diberikan gelang pink kerana bukan warganegara untuk mengelakkan daripada keluar dari tapak bina. Tetapi mereka masih boleh bergerak didalam tapak bina kerana ianya saringan surveillance bukan saringan kontak rapat,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata,  pelepasan dan pemotongan gelang pink telah dilakukan pada 15 November, jam 11 pagi di tapak bina berkenaan.

“Hasil saringan terdapat satu kes positif sahaja tetapi kes ini tidak tinggal di tapak bina, tetapi menetap di luar tapak bina.

“Terdapat kontak rapat, 8 orang telah di kuarantinkan. Tempoh kuarantin 14 hari (7/11-20/11),”katanya.

Beliau berkata, kesemua pekerja yang lain pula disahkan negatif dan telah diberikan pelepasan pada 15 November kecuali lapan orang kontak rapat kepada kes positif dan mereka masih menjalani tempoh kuarantin.

Jelas Dr Noor Hisham, semua yang disaring tidak dibenarkan keluar dari tapak pembinaan dengan kawalan ketat.

“Pihak pemaju telah diminta untuk memastikan kesemua yang disaring berada dalam kawasan tapak bina.

“Dua orang pengawal keselamatan diletak di pintu masuk tapak bina dan pihak polis Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Wangsa Maju juga melakukan pemantauan setiap hari,”katanya.

Beliau berkata, pemaju dinasihatkan untuk melakukan kerja-kerja disinfeksi dan pada 13 sehingga 15 November lalu.

“Pemaju telah memberhentikan operasi buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan nyah cemar sehingga keputusan saringan diperolehi pada 15 November lalu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.