25 Pati cuba mendarat digagalkan

Tongkang berkenaan diusir keluar dari perairan negara

LUMUT– Hasrat 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba mendarat di negara ini secara haram dipatahkan, malam semalam.

Tongkang yang membawa kesemua PATI berkenaan dihalang Bot RHIB R 2007 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bot RH 10 dan Seahawk milik Pasukan Polis Marin (PPM) dan Bot Penggalang 41 milik Agensi Pengutkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, empat buah bot itu berada di bawah Maritime Component Commander (MCC), National Task Force (NTF).

“Bot tongkang berkenaan berjaya dikesan mencerobohi perairan negara oleh petugas ketiga-tiga agensi iaitu TLDM, PPM dan APMM sektor 5.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah berjaya menemui 25 orang PATI di dalam tongkang berkenaan yang dipercayai cuba memasuki negara ini secara haram,”kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan berkata, tongkang berkenaan
diusir keluar dari perairan negara dengan diiringi Bot RHIB TLDM pada jam 6.53 pagi tadi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.