105 bungkusan ketum di Perlis dirampas

Sebanyak 105 bungkusan ketum dirampas pasukan keselamatan

KUALA PERLIS– Sebanyak 105 bungkusan daun ketum seberat 1050 kilogram (kg) dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam dua serbuan Op Bersepadu pada 12 Januari lalu.

Op Bersepadu itu turut disertai sepasukan Polis dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar bersama Unit Risikan Marin, Risik Agensi Kawalan Sempadan Malaysia( AKSEM), Taskforce Balai Polis Kuala Perlis, serta Risik Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Satu Langkawi, DSP Rohizan Mohamad Saaid berkata, sebuah kereta jenis Produa Kancil di persisir Sungai Kampung Wai didapati dalam keadaan mencurigakan sewaktu rondaan dibuat pasukan keselamatan.

“Sedar akan kehadiran pasukan operasi, pemandu kereta tersebut bertindak untuk meloloskan diri, namun berjaya ditahan,”katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan sejumlah 23 bungkusan hitam yang mengandungi daun hijau, disyaki daun ketum disorok di dalam but kenderaan terbabit.

“Pemeriksaan lanjut tidak menemukan lain lain barang salah,”katanya.

Beliau berkata, serbuan berasingan di kawasan tepi Sungai Kampung Seberang Ramai menemukan 82 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun ketum.

“Pihak polis membuat pemerhatian di kawasan sekitar, dan mendapati tiada individu tampil menuntut bungkusan tersebut,”katanya.

Beliau berkata, kesemua 105 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum masing – masing dengan anggaran berat keseluruhan lebih kurang 230 kg dan 820 kg.

“Suspek dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis, dan akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.