Tak setuju KWSP, PUTRA tuntut dana kerajaan

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah tidak bersetuju dengan pengumuman kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Penyelarasnya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, PUTRA menyarankan bantuan kepada rakyat menggunakan wang kerajaan.

“PUTRA menyarankan bantuan disalurkan kepada rakyat menggunakan dana kerajaaan.

“Bukannya membenarkan rakyat menggunakan wang simpanan mereka di usia tua,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengeluaran wang KWSP ini akan menjejaskan masa depan para pekerja Malaysia.

“Walaupun tiada paksaan untuk rakyat menggunakannya, namun golongan yang terjejas mahu tidak mahu pasti akan menggunakan simpanan KWSP.

“PUTRA berharap Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang akan diumumkan pada 30 Mac ini mengambil kira bukan sahaja keadaan ketika ini, namun turut menitik beratkan masa depan yang bakal dilalui rakyat Malaysia,”katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam menangani Covid-19.

Salah satunya ialah kemudahan pengeluaran I- lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia 55 tahun ke bawah dengan jumlah RM40 billion.

Mustaffa berkata, kerajaan juga disaran memudahkan urusan rakyat memohon bantuan iaitu dengan membuat permohonan secara atas talian berbanding manual.

“Kerajaaan sepatutnya memberi bantuan kepada rakyat berupa Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) sebanyak RM1200 bagi meringankan rakyat. Atau menamakannya sebagai Bntuan Rakyat Covid-19,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.