Tentera darat bantu bina jambatan orang kampung

Jambatan Compact Bailey 200 memanfaatkan 2,600 penduduk kampung

MARAN– Tentera Darat Malaysia (TDM) membina Jambatan Compact Bailey 200  di Kampung Belimbing bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat arus sungai deras.

Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia dalam kenyataan berkata, jambatan asal itu menghubungkan Kampung Serengkam, Sri Makmur dan Sri Jaya.

“Jambatan itu dibina TDM melalui 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 RAJD) dan 2 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD).

“Bantuan dari kedua-dua pasukan berkenaan yang diaturgerakkan pada 12 Jan 21 telah memanfaatkan kepada lebih 2,600 penduduk yang terjejas,”kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan berkata, jambatan berkenaan ialah kedua dibina TDM selepas jambatan pertama siap dibina di Kampung Lechar, Ulu Dong, Raub pada 9 Januari lalu.

Menurut kenyataan, ia dijangka siap sepenuhnya pada esok (14 Januari).

“Keperluan pembinaan ini telah dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Ia melibatkan 115 pegawai dan anggota diketuai oleh Pegawai Memerintah 91 RAJD, Kolonel Muhammad Zamri bin Musa.

“TDM sentiasa bersiap sedia memberi bantuan kepada mereka yang terjejas akibat banjir di samping memantau situasi bencana ini serta bekerjasama dengan agensi-agensi penyelamat di seluruh Malaysia,”katanya.

Rentas7/ Foto: TDM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.