“Pembetukan Malaysia hasil perjuangan rakyat dan pemimpin”- Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berucap pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2020

KUALA LUMPUR-Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat bahawa pembentukan Malaysia tidak datang dengan mudah.

Beliau berkata, Malaysia sebaliknya terbentuk hasil perjuangan rakyat dan pemimpin terdahulu.

“Sambutan yang diadakan pada setiap tahun ini adalah bagi mengingatkan kita bahawa pembentukan Malaysia tidak datang dengan mudah.

“Sebaliknya menuntut perjuangan rakyat dan pemimpin terdahulu yang mahu melihat lahirnya negara Malaysia yang merdeka dan bersatu-padu,”katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri hadir bagi bersama-sama meraikan sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2020
di Stadium Tertutup Sibu malam ini.

Beliau berkata, sambutan Hari Malaysia sangat signifikan bukan sahaja kepada rakyat di Sarawak tetapi juga seluruh Malaysia.

Menurutnya, ini kerana pada tarikh 19 September iaitu 57 tahun yang lalu, kerajaan di bawah pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Selaku Perdana Menteri, saya tegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal komited untuk memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 adalah terpelihara

“Ini saya terjemahkan dengan mewujudkan portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang diletakkan di Jabatan Perdana Menteri semasa pembentukan kabinet kerajaan PN dahulu,”katanya.

Dalam majlis itu juga Muhyiddin mengumumkan penubuhan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang berperanan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata, ia antaranya berkenaan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Majlis Khas ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri sebagai Perdana Menteri selain turut dianggotai YAB Ketua Menteri Sarawak, YAB Ketua Menteri Sabah, Menteri-Menteri Persekutuan serta ahli-ahli lain yang akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.

“Saya berharap penubuhan Majlis Khas ini mampu merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Insya-Allah,”katanya.

Tegas Muhyiddin, Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan tanpa sebarang kompromi tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.