Warisan parti pilihan tepat PRU -15

SUNGAI PETANI -Parti Warisan menawarkan sabuah kerajaan bersih, mantap dan mensejahterakan rakyat jika membentuk kerajaan pada PRU-15 ini.

Ketua Penerangan Parti Warisan Malaysia Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus (gambar) berkata, kepimpinan bermoral, akaunbiliti, dan ‘zero’ rahsuah menjadi asas perjuangan Parti Warisan.

Menurutnya, keupayaan BN, PH dan PN mentadbir negara sudah dinilai rakyat dan kini masa tepat untuk memilih Warisan.

“Rakyat sudah bosan ditipu oleh pemimpin-pemimpin yang korup dan tidak mempunyai hala tuju jelas untuk negara.

“Oleh sebab itu, kita menawarkan kepada rakyat satu kerajaan yang stabil dan sihat kepada rakyat kerana impian kita untuk mensejahterakan rakyat Malaysia,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, PRU-15 perlu menjadi titik permulaan kepada memulihkan semula struktur politik Malaysia.

“Politik Malaysia perlu ditentetamkan dalam pelbagai sudut. Daripada peringkat atasan hinggalah kepada rakyat jelata.

“Semua ini hanya boleh dilakukan jika Malaysia ditadbir oleh parti yang telus dan stabil dan bukannya parti yang mempunyai liabiliti,”katanya.

Mustaffa berkata, dalam konteks Negeri Kedah, Warisan telah mengenal pasti beberapa aspek kelemahan pentadbiran negeri khususnya dalam ekonomi.

Menurutnya, pelan perancangan ekonomi rakyat Kedah di bawah Warisan akan diuar-uarkan kepada rakyat negeri ini sebelum PRU-15.

“Kita mempunyai model ekonomi amat baik dan makmur. Buat waktu ini idea ini kita simpan kerana bimbang diciplak parti-parti lain yang tiada idea membangunkan Kedah.

“Ia bukan bermaksud kerajaan hari ini dan terdahulu tidak baik, tetapi kita mempunyai langkah lebih baik.

“Kita tidak mahu terlalu bergantung dengan pelaburan dalam industri perkilangan kerana Kedah mempunyai potensi lebih besar daripada itu,”katanya.

Beliau berkata, kebanyakan negara maju sudah mengelakkan kilang beroperasi di negara mereka kerana faktor alam sekitar.

“Sebaliknya mereka menjadikan negara sedang membangun seperti Malaysia pusat untuk kilang mereka beroperasi. Mereka mendapat kekayaan penuh, kita pula hanya terpaksa membayar harga lebih kepada alam sekitar yang terjejas angkara kilang luar,”katanya.

Rentas7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.