Minggu Sains Negara capai lebih 1.67 juta penyertaan

KOTA TINGGI – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham Baba telah merasmikan program Karnival STEM Merdeka bersempena
Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 yang diadakan di Pusat Informasi dan Pelancongan Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

Pada penganjuran acara kemuncak Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 di Johor ini, Dr. Adham Baba mengumumkan kejayaan Minggu Sains Negara yang telah mencapai sasaran lebih awal daripada yang ditetapkan.

“Sejak dilancarkan pada 1 April 2022, Minggu Sains Negara yang pada awalnya menyasarkan penyertaan sebanyak 1.5 juta bermula April hingga Oktober 2022. Sehingga 27 Ogos 2022, Minggu Sains Negara telah melepasi sasaran dengan mencatatkan sejumlah 1.67 juta penyertaan menerusi 175 program yang telah dianjurkan,”katanya.

Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 sedang menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan berdasarkan tujuh bidang fokus utama iaitu Kesihatan Planet, Kimia dan Bioteknologi, Kegunaan Aman Nuklear, Inovasi Sosial, Kejuruteraan, Nanoteknologi serta Angkasa.

Program ini juga turut diterajui oleh agensi-agensi peneraju serta rakan strategik yang menerapkan aspek kreativiti, inovasi, komunikasi sains, keselamatan, ekonomi, kesejahteraan rakyat, pembudayaan dan kesedaran, Internet kebendaan serta Industri
Revolusi 4.0 dalam aktiviti dan pertandingan yang sedang dilaksanakan sepanjang berlangsungnya Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022.

Objektif utama penganjuran Minggu Sains Negara adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI dalam kehidupan seharian, menarik
minat dan meningkatkan bilangan pelajar yang memilih bidang STEM.

Adham Baba dalam ucapannya turut memberi penekanan tentang isu
melibatkan jumlah pelajar dalam bidang STEM yang masih rendah iaitu sebanyak 47 peratus, manakala 19 peratus bagi sains tulen.

Menurut beliau, jika minat terhadap pendidikan STEM dibudayakan sejak dari awal lagi, ia mampu membawa kepada kemahiran yang boleh diguna pakai bukan sahaja bagi menceburi alam pekerjaan berpendapatan tinggi, malah pengaplikasiannya boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian.

Pendidikan STEM hakikatnya mampu melahirkan generasi muda yang memiliki tahap intelektual yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi seterusnya melahirkan modal insan yang mahir.

Adham Baba berharap agar semua pihak terus aktif menggembleng tenaga
untuk memupuk minat terhadap bidang STEM. Kerjasama ibu bapa dan guru juga
diperlukan meneroka kaedah yang menyeronokkan dalam membudayakan minat STEM dalam kalangan murid.

Selain itu menurut beliau, media juga memainkan peranan penting
dalam mempromosi program-program berkaitan STEM menerusi karya kreatif masing-masing bagi menarik minat generasi muda terhadap bidang STEM.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.