USM kekang koronavirus merebak ke seluruh kampus

PULAU PINANG- Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia menjalankan saringan rapi terhadap kakitangan dan pelajarnya yang baru pulang dari China.

USM dalam satu kenyataan berkata, langkah itu merupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah penularan virus itu khususnya di kampus-kampus USM.

“Antara langkah yang diambil adalah dengan menasihatkan staf dan pelajar yang akan ke China agar membuat penangguhan perjalanan.

“Selain itu bersedia menjalankan saringan rapi terhadap staf dan pelajarnya yang baru kembali dari China, sama ada yang kembali dari cuti semester atau pelajar baharu yang tiba di Malaysia,”katanya semalam.

Kata kenyataan itu, pelajar yang kembali dari cuti semester atau pelajar baru dari negeri China perlu menjalani pemeriksaan saringan setempat sebelum meneruskan aktiviti masing-masing.

“Seluruh warga USM juga dinasihatkan mematuhi langkah-langkah kesihatan yang perlu melalui maklumat-maklumat yang diedarkan dari semasa ke semasa dan membuat pemeriksaan jika mempunyai simptom-simptom termasuk demam dan selesema,”katanya.

Dalam sama katanya, USM turut mengambil langkah proaktif dengan mengedarkan makluman mengenai langkah-langkah pencegahan yang juga menepati saranan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.