Isu kuil: PUTRA sokong tindakan tegas kerajaan negeri

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menggesa kerajaan memperketatkan undang-undang terhadap pihak yang membina kuil tanpa mengikut saluran yang betul.

Pengerusi PUTRA cawangan Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, tindakan lemah kerajaan terdahulu menyebabkan ada kuil yang dibina di atas tanah yang diceroboh.

Menurutnya, binaan berkenaan akhirnya mendatangkan banyak masalah di kemudian hari.

“Jika tidak diambil tindakan, akan ada lebih banyak kuil yang dibina di atas tanah yang diceroboh. Jadi segala tindakan tegas kerajaan negeri hari ini amatlah disokong.

“Kita juga menuntut undang-undang lebih ketat. Ini bagi menghalang mana-mana pihak membuat binaan sesuka hati sebelum menuntut ganti rugi,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan kerajaan negeri yang akan merobohkan Kuil Hindu terletak di hadapan pintu masuk stesen keretapi Alor Setar.

Difahamkan, tindakan itu dibuat atas beberapa faktor antaranya kerana lokasi kuil yang menyebabkan gangguan lalu lintas.

Mustafa berkata, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P. Ramasamy juga disaran tidak masuk campur urusan kerajaan negeri yang bertindak mengikut lunas undang-undang

“Ini bukan soal perkauman, tetapi apabila satu-satu binaan dibina atas tanah yang diceroboh, kerajaan mempunyai kuasa penuh merobohkannya.

“Jadi saya harap P. Ramasamy jangan melalak jika tidak tahu menghormati undang-undang di negara ini,”katanya.

Beliau berkata, kaum Melayu sendiri juga mengalami nasib serupa apabila binaan premis mereka dirobohkan.

“Ada pemilik perniagaan yang kehilangan premisnya akibat dirobohkan.

“Tetapi mereka akur kerana menyedari tindakan awal membina premis tanpa kebenaran,”katanya.

Terdahulu, Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang menempelak Majlis Perbandaran Alor Setar.

Ramasamy mendakwa, pihak tersebut begitu sombong sehingga mereka tidak mahu bertemu dengan jawatankuasa kuil untuk mencari jalan penyelesaian yang baik bagi kuil tersebut.

“Saya akan menulis surat kepada Menteri Besar Kedah bagi mendesaknya untuk menangguhkan perobohan kuil ini dan mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa kuil dan agensi negeri lain untuk mencari jalan penyelesaian yang baik,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.