“Tinggalkan tabiat buruk rebut kuasa, fokuskan rakyat!”

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR– Ahli Parlimen dalam blok kerajaan baharu diminta fokus kepada usaha membantu rakyat dan bukannnya sikap mementingkan ‘perut’ sendiri dengan berebut kuasa.

Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, Ahli Dewan yang telah pun menyatakan sokongan mereka memilih blok kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong perlu membuktikan mereka bukan pengkhianat kepada Agong dan rakyat.

“Perjalanan selepas PRU-14 mencatatkan sejarah terburuk politik negara. Tiga kerajaan dibentuk dalam satu penggal.

“Walaupun ini kerja gila, ia tetap telah berlalu. Jadi saya minta Ahli Dewan Rakyat rakyat dalam blok kerajaan tolonglah jangan lagi berebut kuasa dan menjatuhkan sesama sendiri,”katanya hari ini.

Katanya, sekiranya Ahli Parlimen dalam blok kerajaan terutamanya UMNO-BN tidak mengulangi skrip berebut kuasa, kerajaan sedia ada mampu kekal hingga PRU-15.

“Saya lihat yang masalahnya pemimpin UMNO-BN, pemimpin parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak dari blok kerajaan menunjukkan komitmen baik membantu rakyat.

“Tapi tidak mengapa, bagi saya tidak perlu diungkit. UMNO-BN mempunyai ramai pemimpin berpengalaman dalam urus tadbir negara.

“Maka, lupakan sejarah lalu. Kita bina semula negara ini. Jika kita terus bersengketa, bangsa Melayu akan derita di bumi sendiri. Kena ingat, bangsa lain semuanya sedang menunggu peluang,”katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen pembangkang juga diingatkan meninggalkan sikap buruk gila kuasa, sebaliknya sama-sama membantu rakyat yang dihimpit masalah COVID-19.

“Menjadi harapan seluruh rakyat untuk melihat negara ini keluar dari kemelut wabak COVID-19.

“Pembangkang dan kerajaan kena ubah mentaliti buruk dalam berpolitik. Kita masih ada masa untuk lakukan terbaik kepada negara,”katanya.

Kerajaan baru sah terbentuk setelah Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah di Istana Negara hari ini.

Beliau menerima sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.