MOSTI lancar elaun baharu GRA di bawah Geran R&D

PUTRAJAYA– Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memutuskan untuk menaikkan elaun Pembantu Penyelidik Siswazah (GRA) dalam skim pembiayaan Dana R&D MOSTI mengikut kelayakan akademik iaitu sebanyak RM3,200 bagi GRA-Doktor
Falsafah dan RM3,000 bagi GRA-Sarjana bermula tahun 2021.

MOSTI dalam kenyataan berkata, kenaikan ini akan melibatkan kenaikan elaun kepada seramai 11,000 orang GRA di institut pengajian tinggi.

Menurut kenyataan, di bawah Program Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU), terdapat lima (5) Dana Penyelidikan yang ditawarkan oleh MOSTI dan empat (4) daripada Dana Penyelidikan MOSTI.

“Ia melibatkan Dana Penyelidikan Strategik (SRF), II, Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1), III. Dana Pembangunan Teknologi 2 (Ted2); dan IV Dana Bridging (BGF),”katanya.

Kenyataan berkata, dana-dana ini menawarkan lantikan GRA dengan jumlah elaun yang spesifik mengikut tahap pengajian yang sedang dijalani.

“Melalui pembiayaan Dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) ini, MOSTI
yakin graduan dan bakat yang berkualiti tinggi dapat dihasilkan.

“Graduan yang dilantik ini akan meneruskan kerjaya dalam bidang STEM dengan dilengkapi kemahiran dan kompetensi yang bersesuaian sekaligus mempunyai daya saing untuk kerjaya masa hadapan,”katanya.

Kenyataan berkata, generasi muda yang kompeten terutama yang menceburi bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) amat penting dalam menggerakkan agenda STI negara kerana generasi ini dapat menterjemahkan idea dan menggalakkan penciptaan teknologi yang dapat memacu ekonomi negara seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Perkara ini sejajar dengan hasrat MOSTI untuk mensasarkan bilangan penyelidik
kepada 130 bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang tahun 2025 dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 di bawah Teras 4.

“Elaun kepada GRA adalah salah satu skop pembiayaan yang ditanggung
oleh MOSTI.

“GRA bertanggungjawab untuk membantu penyelidik atau pensyarah melaksanakan tugas-tugas penyelidikan seperti melakukan kerja makmal, melakukan analisis, mengutip sampel di lapangan dan lain-lain tugasan berkaitan projek penyelidikan,”katanya.

Tambah kenyataan, pada tahun 2006 sehingga 2020, siling elaun yang dibenarkan untuk dibayar kepada seorang GRA di bawah Dana R&D MOSTI adalah sebanyak RM2,500 sebulan untuk tempoh antara 18 hingga 36 bulan.

“Kadar elaun yang ditawarkan sebelum ini masih rendah berbanding jawatan lain dengan kelayakan akademik yang sama.

“Hasrat utama MOSTI dan Kerajaan adalah supaya projek-projek penyelidikan yang dilaksanakan di institut pengajian tinggi dan pusat penyelidikan Kerajaan dapat menjadi platform dan pemangkin pertumbuhan ekonomi melalui penerokaan idea baharu, kualiti penyelidik dan GRA, perlu bergerak selari dengan visi serta misi yang dinyatakan serta memangkin penciptaan teknologi dan inovasi selari dengan kemahiran yang dimiliki oleh GRA, maka elaun mereka perlu ditambah baik,”katanya.

Menurut kenyataan, hal ini mengambil kira kadar elaun semasa yang diterima GRA berbanding perkara seperti Gaji permulaan (termasuk elaun) pegawai teknikal penyelidik dan sains yang bertaraf tetap, Kadar inflasi mengikut kiraan Indeks Harga Pengguna; dan Taburan pendapatan isi rumah mengikut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, Jabatan
Perangkaan Malaysia.

“Selain daripada inisiatif menaikkan elaun GRA, MOSTI pada 2 Februari 2021 telah memperluaskan pembayaran elaun ini kepada Pegawai Penyelidik (RO) yang akan dilantik oleh Agensi STI Kerajaan, GRI, Start-up, PKS dan MNC untuk projek R&D dengan syarat pihak penerima dana berkolaborasi dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan RO yang dilantik hendaklah mempunyai kelayakan akademik bersesuaian dengan projek R&D yang dilaksanakan,”katanya.

Kenyataan berkata, MOSTI berharap elaun GRA dan RO yang akan dilaksanakan ini mampu menyokong hasrat Kerajaan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) bagi membangun, memupuk dan menggilap bakat dalam bidang STI di kalangan generasi muda.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.