Terima kasih Ustaz Ebit Lew- PERKEBA

BALING – Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling, Kedah (PERKEBA) melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Ustaz Ebit Lew (UEL) yang sanggup datang dari jauh hanya semata-mata untuk membantu rakyat di daerah ini.

Yang Dipertua PERKEBA, Jhangir Khan Hj Kathem Khan yang juga selaku Pengerusi Biro Kebajikan PERKEBA amat menghargai bantuan disalurkan pendakwah itu.

Katanya, tidak dinafikan banyak pihak seperti agensi kerajaan, ahli-ahli parti politik, NGO termasuk individu- individu memainkan peranan membantu rakyat di daerah ini.

“Tetapi alhamdulillah hari ini kita ada lagi insan berhati mulia yang sudi turun padang di daerah ini bagi melihat sendiri serta membantu golongan yang kurang berkemampuan di daerah ini.

“UEL adalah seorang yang pemurah serta berjiwa murni dan prihatin terhadap masyarakat tidak mengira bangsa dan agama. Beliau sanggup lakukan apa sahaja dalam hal ehwal kebajikan kepada masyarakat terutamanya masyarakat yang sangat memerlukan pertolongan” katanya.

Jhangir Khan Kathem Khan

Jhangir berkata, PERKEBA amat berterima kasih dan sedia bekerjasama dengan UEL sekiranya pendakwah itu ingin datang semula ke daerah ini bagi tujuan yang sama.

Katanya lagi, UEL bukan keseorangan pada hari ini malah di bantu agensi-agensi terbabit.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan seperti Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Baling, Pejabat Daerah Baling, agensi keselamatan serta semua yang terlibat dalam membantu serta permudahkan urusan UEL.

“Saya juga mewakili Tn Hj Mohd Noor Mohd Amin, Penaung / Penasihat Perkeba dan Persatuan Sahabat Anak Baling (SAHABAT) sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih di atas keperihatinan UEL kepada rakyat Baling.

“Semoga ALLAH sahajalah yang dapat membalas budi dan jasa baik Ustaz serta dipermudahkan segala urusan seharian,”katanya.

Siang tadi, UEL tampil membantu enam beranak yang tinggal dalam sebuah bangsal di kebun getah untuk mendiami kediaman lebih selesa.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.