Hajat wanita 83 tahun miliki kerusi roda tercapai

Perkeba dan Sahabat menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada Habsah sambil disaksikan anggota APM Baling

BALING– Hasrat seorang  warga emas memerlukan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya tercapai.

Wanita berusia 83 tahun itu dibantu Pertubuhan Kebajikan Penduduk Baling (Perkeba) dan Persatuan  Sahabat Anak Baling (Sahabat).

Setiausaha Kehormat Perkeba, Mohd Nazry Bidin berkata, Habsah Ahmad dari Kampung Keda Ulu Legong tidak mampu berjalan akibat penyakit saraf.

Menurutnya, kekangan kewangan menghalang keluarga Habsah membeli kerusi roda baru.

“Selepas menerima maklumat, Perkeba dan Sahabat menerusi Ziarah Prihatin sebelum ini telah tampil melihat sendiri keadaan Habsah.

“Kami dapati Habsah tidak mampu berdiri disebabkan masalah saraf dan kerusi roda yang ada sudah rosak,” katanya.

Beliau berkata, hasil kunjungan itu, pihaknya membantu Habsah mencari sumbangan mendapatkan kerusi roda baharu.

“Alhamdulillah seorang hamba Allah bersetuju menyumbang kerusi roda untuk puan habsah..

“Kami mengucapakan terima kasih kepada hamba Allah tersebut kerana menunai hajat Puan Habsah,”katanya.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Sahabat merangkap Setiausaha Kerja Perkeba Muhammad Lukman Mahmud.

Turut bersama Penolong Amil Zakat Kariah Masjid Kampung Ulu Legong, Othman Abu Bakar dan anggota Pertahanan Awam Malaysia Daerah Baling.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.