PGA gempur PATI, warga Indonesia dan Myanmar ditahan.

Warga asing Indonesia dan Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ditahan pasukan PGA

SHAH ALAM– Empat lelaki warga Indonesia dan tiga wanita Myanmar ditahan Pasukan Polis Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih.

Mereka yang berusia 15 hingga 63 tahun ditahan di Jalan Masjid, Kampung Sungai Serdang, Tok Muda, Kapar Selangor.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Supt. Rizal Mohamed berkata, hasil siasatan lanjut, kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Tiga wanita warganegara Myanmar tersebut mengaku baru sahaja tiba dari Dumai Indonesia dengan menggunakan bot dan mendarat di pesisir pantai Sungai Serdang.

“Manakala empat lelaki warganegara Indonesia tersebut dipercayai cuba keluar melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Kapar, Klang Utara untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid 19 bagi mencegah penularan virus tersebut dikalangan pesalah dan juga Petugas PDRM,”katanya.

Beliau berkata, masyarakat diseru agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.